Alor Setar: Seramai 700 peserta menyertai Museum Fun Run Kedah 2025 sempena Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2025 (FHMAPK 2025) di Muzium Padi, di sini hari ini.
Kurator Bahagian Pengurusan Konservasi Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Muhamad Faiz Azizan berkata, program berkenaan diadakan untuk mendekati masyarakat setempat dengan muzium.
“Ia bertepatan dengan FHMAPK 2025 pada kali ini yang mengambil pendekatan merakyatkan muzium dengan berkonsepkan reach out.
“Muzium tidak hanya menunggu dikunjungi tetapi mensasarkan penyampaian untuk sampai kepada semua lapisan masyarakat di seluruh negara,” katanya.

Dia menambah, program larian berkenaan turut memberi pilihan kepada peserta untuk memadankan pakaian etnik yang terdapat di negara ini.
Jelasnya lagi, para peserta tidak terkecuali dapat merasai suasana pemandangan yang cukup mendamaikan sepanjang larian tujuh kilometer bertemankan sawah padi dan Gunung Keriang.
“Sepanjang larian, kita mendapati terdapat para peserta yang mengambil peluang merakam gambar kenangan berlatarbelakangkan sawah padi dan gunung tersebut.
“Ia secara tidak langsung dapat mempromosikan produk pelancongan tempatan bersesuaian dengan kempen Tahun Melawat Kedah 2025 bertemakan Experience Kedah,’ ujarnya lagi.

Muhamad Faiz berkata, para peserta juga dapat menjamu juadah seperti cuq pengeran dan cendol di titik semak.
Dia memberitahu, sambutan cukup menggalakkan dari Kedah dan negeri-negeri Utara tanah air.
Dalam pada itu, seorang peserta Mohamad Shah Afiadi, 36, berkata dia menyertai larian berkenaan bersama isteri dan dua anaknya.
Dia yang lengkap berbaju Melayu berwarna hijau serta samping dan tanjak hitam menambah, sangat teruja apabila dapat menikmati keindahan alam seisi keluarga.
“Selain itu, ia merupakan aktiviti riadah yang menyihatkan tujuh badan,” katanya.

Bagi pelajar Sekolah Menengah Permatang Bonglai, Farah Mohd Fauzi menambah, dia dapat melakukan aktiviti sihat bersama sahabat-sahabat baik.
“Saya dapat meluangkan masa dan dapat merakam kenangan bersama-sama sahabat kerana pemandangan sangat menawan,” ujarnya.
Batrisyah Shahidon, 17, pula memberitahu, dia dapat mengenali kawan-kawan baharu sepanjang larian.

Katanya, dia juga berpeluang mengunjungi pameran-pameran yang disediakan pada FHMAPK 2025.
Pada festival tersebut, sebanyak 102 aktiviti telah disusun sepanjang sambutan berlangsung sehingga 29 Julai nanti.
