Alor Setar: Pertandingan gagau ikan menjadi tarikan pengunjung Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2025 (FHMAPK 2025) di Muzium Padi, di sini hari ini.
Ia yang menjadi antara aktiviti program Pakat Tughun Bendang FHMAPK 2025 mengimbau kembali kenangan tradisi warisan turun-temurun teknik menangkap ikan menggunakan tangan.
Berbanding teknik moden menggunakan jaring atau pancing, gagau ikan lebih bersifat tradisional dan memerlukan kecekapan tangan serta kepekaan terhadap pergerakan ikan dalam lumpur.

Biarpun kelihatan mudah, gagau ikan memerlukan kemahiran dan kesabaran kerana peserta perlu meraba perlahan-lahan di dasar lumpur untuk mengesan pergerakan ikan.
Bahkan, aktiviti gagau ikan sering dikaitkan dengan musim menuai atau selepas banjir surut.

Salah seorang peserta, Muhammad Adam Fauzan Muhammad Saat, 12 berkata, aktiviti gagau ikan mengajar erti kesabaran kerana perlu memerhatikan pergerakan ikan terlebih dahulu sebelum menangkapnya.
Dia sangat teruja dengan penganjuran gagau ikan FHMAPK 2025 berjaya menangkap sembilan ekor ikan terdiri daripada ikan puyu dan haruan.
“Saya sangat seronok kerana kesabaran hari ini membuahkan hasil dengan penangkapan ikan yang agak besar.
“Biarpun pernah menyertai pertandingan gagau ikan tetapi ia agak sukar terutama apabila berdepan dengan lumpur dan ikan licin,” ujarnya.

Muhammad Adam Fauzan yang turut disertai dua adiknya berharap pertandingan berkenaan dapat dikekalkan pada masa akan datang.
Dalam pada itu, adiknya, Muhammad Safiy, 9, menambah dia ingin menggoreng ikan yang diperoleh abangnya untuk menjadi juadah seisi sekeluarga.
“Saya bangun awal dan tidak sabar untuk turun bendang untuk gagau ikan hari ini,” katanya sambil tersenyum.

Bagi Azizan Mansor, 55, pula berkata, dia sudah biasa dengan aktiviti gagau ikan tersebut.
“Saya dapat dalam 26 ekor ikan puyu dalam pertandingan hari ini.
“Apa yang penting dalam aktiviti gagau ikan adalah memerhatikan pergerakan ikan dan menangkap ikan tersebut sepantas mungkin,” ujarnya lagi.

FHMAPK 2025 pada kali ini mengambil pendekatan merakyatkan muzium dengan mensasarkan 150,000 pengunjung.
Ia merupakan satu program berkonsepkan reach out yang mana muzium tidak hanya menunggu dikunjungi tetapi mensasarkan penyampaian untuk sampai kepada semua lapisan masyarakat di seluruh negara.
