Alor Setar: Seramai 479 atlet warga muzium mengambil bahagian dalam kejohanan sukan sempena Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2025 (FHMAPK 2025) di Stadium Sultan Abdul Halim di sini hari ini.
Ketua Kontinjen Wilayah dan Jawatankuasa Sukan FHMAPK 2025, Mohd Khairill Jemangin berkata, sukan merupakan wadah yang sangat penting dalam membina semangat setia kawan, menggalakkan gaya hidup sihat serta menyemai nilai-nilai positif seperti disiplin, kerjasama dan integriti.
“Dalam konteks institusi muzium, aktiviti seperti ini memperkukuh hubungan antara warga muzium dari seluruh negara.
“Kita percaya bahawa muzium hari ini bukan lagi sekadar tempat penyimpanan artifak tetapi telah berkembang menjadi institusi komuniti yang dinamik,” katanya selepas Majlis Perasmian Kejohanan Sukan Sempena FHMAPK 2025.

Majlis berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan negeri Kedah, Muhammad Radhi Mat Din.
Hadir sama ialah Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim.
Mohd Khairill menjelaskan, penganjuran kejohanan itu selari dengan tema FHMAPK 2025 iaitu Masa Depan Muzium Dalam Komuniti Yang Berubah Pantas.
Katanya, melalui penganjuran kejohanan sukan tersebut, ia dapat menyaksikan bagaimana warga muzium mengadaptasi peranan mereka sebagai agen perubahan sosial yang aktif dan progresif.

“Pada tahun ini terdapat sembilan acara sukan dipertandingkan iaitu boling, bola sepak sembilan sebelah, badminton, dart, karom, sepak takraw, memanah, e-sport dan pickle ball.
“Kejohanan sukan ini terdiri daripada lapan zon iaitu utara, timur, tengah, wilayah, selatan, Sabah, Sarawak dan keselamatan.
“Saya berharap ia dapat dijadikan platform untuk mengukuhkan lagi semangat berpasukan serta mengerat silaturrahim dalam kalangan semua peserta,” katanya.
FHMAPK 2025 mensasarkan 150,000 pengunjung merupakan suatu program berkonsepkan reach out yang mana muzium tidak hanya menunggu untuk dikunjungi tetapi mensasarkan penyampaian untuk sampai kepada semua lapisan masyarakat di seluruh negara.
