
Alor Setar – Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2025 (FHMAPK 2025) menerima kunjungan Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd Salleh Saidin di sini hari ini.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Cempedak, Abdul Ghafar Saad, ADUN Ayer Hitam, Azhar Ibrahim, ADUN Pedu, Mohd. Radzi Md. Amin dan ADUN Anak Bukit, Rashidi Razak.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A.Kasim dan Pengarah Lembaga Muzium Negeri Kedah, Suhaidi Shukri telah menyambut kedatangan Ahli Parlimen, EXCO serta ADUN tersebut.
Kehadiran istimewa itu adalah untuk memberi sokongan kepada FHMAPK 2025 yang merupakan satu program berkonsepkan reach out yang mana muzium tidak hanya menunggu untuk dikunjungi tetapi mensasarkan penyampaian untuk sampai kepada semua lapisan masyarakat di seluruh negara.

Program Festival Hari Muzium termasuk di bawah Ikhtiar empat iaitu Komuniti Sosio Budaya yang bertujuan melahirkan masyarakat yang peka terhadap khazanah warisan negara.
Pada festival kali ini, sebanyak 102 aktiviti telah disusun sepanjang sambutan berlangsung sehingga 29 Julai nanti.





