
KUALA LUMPUR: Prosiding semakan kehakiman yang difailkan Badan Peguam Malaysia bagi mencabar keputusan menghentikan prosiding kes rasuah Yayasan Akalbudi membabitkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Peguam, Datuk Guok Ngek Seong yang mewakili Timbalan Perdana Menteri itu berkata, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azizan Md Arshad membuat keputusan berkenaan ketika prosiding berlangsung dalam kamar, hari ini.
Menurutnya, penangguhan itu susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 8 Oktober lalu yang membenarkan Ahmad Zahid dan Peguam Negara mendapatkan kebenaran merayu dalam kes berkenaan.
“Tarikh pendengaran rayuan di Mahkamah Persekutuan masih belum ditetapkan kerana pihak kami baru memfailkan notis rayuan pada 19 Oktober lalu,” katanya kepada media selepas prosiding.
Pada 8 Oktober lalu, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah membenarkan permohonan Ahmad Zahid dan Peguam Negara untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Badan Peguam Malaysia memulakan semakan kehakiman berhubung keputusan menghentikan prosiding kes itu.
Panel berkenaan memutuskan kes itu membangkitkan persoalan perlembagaan baharu yang mempunyai kepentingan awam dan memerlukan penjelasan serta keputusan muktamad Mahkamah Persekutuan.
Pada 7 Mei lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan Badan Peguam Malaysia memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara pada 4 September 2023 untuk menghentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid.
Keputusan itu membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 27 Jun 2024 yang menolak permohonan Badan Peguam Malaysia untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berkenaan.
Dalam permohonan itu, Badan Peguam Malaysia memohon deklarasi Mahkamah Tinggi bahawa keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan Yayasan Akalbudi adalah terbatal dan tidak sah.
Ahmad Zahid diberikan DNAA selepas pihak pendakwaan memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi bahawa Jabatan Peguam Negara berhasrat menghentikan prosiding bagi meneliti bukti baharu.





