
KUALA LUMPUR: Bhuiyen Sdn Bhd (Bhuiyen) menafikan dakwaan syarikat itu terbabit dalam aktiviti penyembelihan ayam tidak halal seperti yang tular menerusi akaun TikTok Shopian & Abeobe.
Dalam kenyataan hari ini, pihak pengurusan Bhuiyen menegaskan aktiviti penyembelihan yang dipaparkan dalam video berkenaan tidak dilakukan oleh syarikat itu atau mana-mana cawangannya.
“Dakwaan yang mengaitkan pihak Bhuiyen dengan aktiviti penyembelihan ayam secara tidak halal itu adalah tidak benar.
“Kami dengan sekeras-kerasnya menafikan aktiviti penyembelihan dalam video itu dilakukan oleh pihak Bhuiyen atau mana-mana cawangan kami,” menurut kenyataan itu.
Penjelasan berkenaan dibuat bagi mengelakkan salah faham dan kekeliruan orang ramai susulan penularan video berkenaan di media sosial.
Terdahulu, tangkap layar rakaman siaran langsung di TikTok tular berhubung dakwaan seorang pembekal ayam di ibu negara menggunakan kaedah penyembelihan tidak sah, termasuk mencampakkan ayam ke dalam air panas ketika masih hidup.
Rakaman itu turut menimbulkan dakwaan operasi penyembelihan berkenaan dilakukan oleh warga asing.
Bhuiyen memandang serius penyebaran dakwaan berkenaan yang disifatkan boleh menjejaskan reputasi syarikat serta kepercayaan pelanggan terhadap perniagaannya.
Sehubungan itu, pihak pengurusan memaklumkan tindakan undang-undang diambil terhadap individu yang didakwa menyebarkan fitnah berkenaan.





