
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, menawarkan motosikal jenis Honda X-ADV dan ternakan ikan tilapia miliknya untuk dibida bagi mengumpul dana membayar ganti rugi serta kos mahkamah berjumlah RM300,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Beliau berkata, keputusan menjual aset berkenaan dibuat selepas mengambil kira kemampuan kewangannya, termasuk simpanan sedia ada yang masih belum mencukupi untuk melunaskan jumlah itu.
Menurutnya, walaupun menghargai cadangan orang ramai untuk membuka tabung sumbangan, beliau memilih untuk berusaha sendiri dengan menjual aset miliknya terlebih dahulu.
“Sejujurnya, RM300,000 itu jumlah yang sangat besar bagi saya. Apabila dihitung segala simpanan yang ada, jumlahnya masih belum mencukupi. Namun, izinkan saya berusaha sendiri dahulu.
“Saya tahu setiap sahabat juga mempunyai keluarga, tanggungan dan kesusahan masing-masing. Sebab itu, selagi masih ada milik saya yang boleh dilepaskan, izinkan saya mengusahakannya dahulu,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Akmal berkata, beliau tidak mempunyai tanah atau rumah untuk dijual bagi mencukupkan jumlah berkenaan.
Katanya, kedua-dua aset itu mempunyai nilai sentimental tersendiri, namun beliau tidak mahu membebankan orang lain selagi masih mempunyai harta yang boleh diusahakan.
“Berat hati hendak berpisah dengan sesuatu yang kita sayang. Namun, lebih berat hati saya jika terpaksa menyusahkan orang lain sedangkan masih ada milik sendiri yang boleh saya usahakan,” katanya.
Beliau turut menegaskan menghormati keputusan mahkamah dan bersedia mematuhi perintah berkenaan.
Sebelum ini, Akmal diperintahkan membayar ganti rugi keseluruhan RM300,000 kepada Teresa berhubung saman fitnah yang difailkan pada 2024.
Bagi menyertai bidaan, pihak berminat perlu memasukkan deposit RM100 ke akaun bank yang disediakan sebelum menghantar resit pembayaran, butiran aset yang ingin dibida serta jumlah tawaran.
Deposit berkenaan akan dipulangkan sepenuhnya kepada pembida yang tidak berjaya.
Akmal turut merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan dan orang ramai yang memberikan sokongan serta doa, sambil meminta mereka tidak berasa serba salah sekiranya tidak dapat membantu dari segi kewangan.
“Doa dan kata-kata semangat kalian pun sudah cukup besar maknanya buat saya. Doakan saya diberi kekuatan untuk melepaskan apa yang saya sayang, supaya tanggungjawab ini dapat saya selesaikan,” katanya.





