
SUBANG JAYA, 15 Julai – Malaysia berharap rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dapat membuahkan hasil positif bagi mengurangkan impak pelaksanaan tarif sebanyak 25 peratus terhadap negara, khususnya dalam sektor maritim.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan sedang berusaha sedaya upaya melalui saluran diplomatik bagi memastikan industri maritim kekal berdaya saing walaupun berdepan tekanan ekonomi global.
“Rundingan masih berjalan, jadi kita belum boleh membuat kesimpulan bahawa tarif lebih tinggi akan dikenakan. Kita berharap akan ada keputusan yang positif sebelum 1 Ogos ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Minggu Maritim Malaysia 2025 di sini, hari ini.
Loke berkata, sektor maritim negara kini menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan peningkatan ketara dalam jumlah dagangan di pelabuhan-pelabuhan utama yang dikendalikan oleh MMC Corporation Bhd dan Westports Holdings Bhd.
“Pelabuhan sedang menunjukkan prestasi sangat baik kerana jumlah dagangan kita telah meningkat.
“Malah, kita sedang menantikan pengumuman daripada Lloyd’s List pada Ogos ini yang akan mengesahkan bahawa Pelabuhan Klang akan berada dalam senarai 10 pelabuhan tersibuk di dunia,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa isu tarif bukan sahaja menjejaskan Malaysia, malah turut memberi kesan kepada negara-negara lain di Asia, Eropah dan Amerika Latin.
“Oleh itu, kita di peringkat kerajaan akan terus mengadakan perbincangan secara berterusan, termasuk dalam mesyuarat Kabinet setiap minggu, demi mencapai hasil rundingan terbaik untuk negara,” tambahnya.