
KUALA LUMPUR: Malaysia kekal di landasan tepat untuk mencapai pertumbuhan perdagangan antara empat hingga lima peratus tahun ini, meskipun cabaran global dijangka memberi kesan pada separuh kedua 2025.
Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, walaupun wujud aktiviti “front-loading” sejak lima bulan lalu, trend perlahan dijangka berterusan menjelang tarikh akhir tarif Amerika Syarikat pada 1 Ogos.
“Kami akan mengumumkan angka perdagangan bagi bulan Jun pada hari Jumaat. Apa yang penting, prestasi perdagangan negara masih dalam jangkaan,” katanya pada sidang media pembentangan kad laporan MITI bagi suku kedua 2025.
Tengku Zafrul menjelaskan unjuran pertumbuhan oleh Bank Negara Malaysia berada sekitar lima peratus, manakala Kementerian Kewangan menyasarkan 3.9 peratus.

“Kita akan terus fokus untuk mencapai sasaran ini,” katanya.
Hasil pelbagai misi perdagangan dan pelaburan setakat ini, Malaysia berjaya mengenal pasti RM25.6 bilion potensi pelaburan dan RM30.8 bilion potensi eksport.
Malaysia juga menandatangani perjanjian perdagangan bebas baharu dengan Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA) pada Jun lalu, yang dijangka menyumbang RM14.4 bilion nilai dagangan dengan negara-negara anggota EFTA.
Mengenai rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS), Tengku Zafrul berkata, pihaknya meneliti isu tarif dan bukan tarif yang masih dalam perbincangan antara kedua-dua negara.
“Saya telah tetapkan tarikh akhir kepada pasukan rundingan. Beberapa isu memerlukan masa kerana melibatkan pelbagai agensi dan kementerian.
“Kami sasarkan rundingan dimuktamadkan sebelum tarikh akhir tarif Presiden AS, Donald Trump, pada 1 Ogos,” katanya.
MITI juga membuat pengiraan impak terhadap eksport negara dan pendapatan kerajaan. Perbincangan lanjutan dijangka berlangsung minggu ini dan dipercepatkan hingga hujung bulan.
Dalam isu bukan tarif, MITI telah menangani beberapa perkara melalui pelaksanaan Akta Perdagangan Strategik 2010 (STA 2010). Namun, isu “garis merah” seperti sekatan pegangan ekuiti asing dalam sektor tertentu masih perlu diperhalusi.
“Terdapat permintaan supaya Malaysia mempertimbangkan semula atau meliberalisasikan beberapa sekatan pegangan ekuiti. Negara lain juga hadapi permintaan yang sama.
“Kita perlu rujuk kepada industri sama ada kita sudah bersedia. Kajian mendalam akan dilakukan bagi menilai impaknya,” kata Tengku Zafrul.





