
PEKAN: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mendedahkann Malaysia kehilangan lebih 20,000 hektar tanah sawah seluruh negara, setakat ini.
Beliau berkata, perkara ini berikutan kawasan terbabit diusahakan bagi projek perumahan atau pembangunan lain dan juga ada yang terbiar.
“Ada kawasan sawah terbiar kerana banyak keluarga generasi muda tidak meneruskannya, dengan berhijrah ke bandar,” katanya ketika meninjau projek pembukaan semula kawasan padi terbiar di Pahang Tua, di sini, hari ini.
Tambah Mohamad, ekoran masalah itu, beliau menggalakkan syarikat dengan bantuan agensi kerajaan untuk mengusahakan tanah sawah yang terbiar, melalui perjanjian sewaan dengan tuan tanah.
Beliau memberi contoh PLS Group membuat perjanjian menyewa kawasan sawah terbiar di Pahang Tua untuk diusahakan semula dan langkah itu secara tidak langsung membantu pesawah sudah berusia serta tidak lagi mampu mengusahakan tanah untuk mendapat faedah, selain mengurangkan tanah sawah terbiar.
Projek pembukaan semula kawasan padi terbiar di Pahang Tua membabitkan keluasan 200 hektar, dengan 100 daripada 548 petani telah menyertai program itu melalui syarikat PLS.
Sementara itu Penyelia Projek PLS Group, Dr Hushaimi Ismail, berkata menerusi projek berkenaan, pihaknya membersihkan kira-kira 200 hektar tanah yang terbiar dengan 72 hektar telah ditanam semula.
Beliau berkata, kerja itu bermula sejak Tahun Baharu Cina lalu menerusi perjanjian sewaan selama enam musim dengan petani.
Melalui perjanjian itu, petani boleh mendapatkan hasil serta kawasan sawah mereka yang terbiar dapat dibangunkan dengan lebih baik.






