KUALA LUMPUR: Malaysia menegaskan pendiriannya kekal sebagai negara berkecuali dalam hubungan pertahanan antarabangsa walaupun menjalankan latihan ketenteraan bersama Amerika Syarikat (AS) dan Australia melalui Eksesais Keris Strike 25 (KrS25) dan Warrior 2025.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, prinsip berkecuali terus menjadi tunjang dasar pertahanan negara, dengan Malaysia turut menjalinkan kerjasama latihan bersama China dan negara-negara ASEAN bagi memperkukuh kebolehoperasian serta hubungan serantau.
“Kita juga ada kerjasama latihan dengan China serta dalam konteks ASEAN. Latihan ini dimanfaatkan dalam bentuk bilateral dan multilateral, dan prinsip negara berkecuali tetap dikekalkan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Kapt (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (PN–Tanjung Karang) mengenai sejauh mana latihan tiga hala seperti KrS25 dan Warrior 2025 selari dengan dasar berkecuali dan bebas Malaysia di rantau Indo-Pasifik.
Adly menegaskan bahawa penyertaan dalam latihan berkenaan membuktikan komitmen negara memperkukuh keselamatan dan kesiapsiagaan pertahanan bersama rakan strategik.
Menurut beliau, latihan seperti KrS25 dan Warrior 2025 membantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meningkatkan keupayaan operasi, penguasaan taktik serta pendedahan kepada teknologi dan doktrin ketenteraan antarabangsa.
“Pengalaman ini menjadi asas kepada transformasi pertahanan negara agar kekal relevan dengan ancaman semasa,” katanya.
Adly turut memaklumkan bahawa Malaysia akan terus memperluas penyertaan dalam latihan dua hala dan pelbagai hala, meningkatkan perkongsian maklumat strategik serta memperkukuh hubungan pertahanan melalui memorandum persefahaman dan forum keselamatan serantau.
