KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia dan Republik Demokratik Timor-Leste hari ini menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) penting sebagai tanda komitmen kedua-dua negara dalam memperkukuh kerjasama di bidang telekomunikasi dan media.
MoU pertama ditandatangani oleh Menteri Komunikasi Malaysia, Datuk Fahmi Fadzil bersama Menteri Pengangkutan dan Telekomunikasi Timor-Leste, Miguel Marques Gonçalves Manetelu, serta Setiausaha Negara bagi Komunikasi Sosial Timor-Leste, Expedito Loro Dias Ximenes.
Menurut kenyataan rasmi, kerjasama ini memperlihatkan komitmen bersama dalam memperkukuh infrastruktur telekomunikasi, meningkatkan keterhubungan digital, serta mempromosikan pertukaran pengetahuan teknikal untuk manfaat kedua-dua negara.
“MoU kedua pula menyaksikan kerjasama antara Kementerian Komunikasi Malaysia dan Setiausaha Negara bagi Komunikasi Sosial Timor-Leste, yang bertujuan memupuk hubungan profesional melalui pertukaran maklumat, perkongsian berita, serta pembinaan kapasiti untuk profesional media.
“Kedua-dua negara menegaskan komitmen memperdalamkan kerjasama dua hala yang sedia ada dan mengukuhkan hubungan antara rakyat Malaysia dan Timor-Leste.
“Malaysia menyambut baik kerjasama ini sebagai langkah ke arah mewujudkan rantau Asia Tenggara yang lebih terhubung, berdaya tahan dan berorientasikan masa depan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menyebut Malaysia adalah antara negara pertama yang mengiktiraf kemerdekaan Timor-Leste pada tahun 2002.
