
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Qatar giat mengadakan perbincangan mengenai situasi terkini di Semenanjung Gaza terutamanya berkaitan pelanggaran syarat gencatan senjata oleh tentera Israel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, isu itu dibincangkan selepas beliau menerima panggilan telefon daripada rakan sejawatnya merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani, semalam.
“Menerusi perbualan telefon, kami berbincang mengenai situasi terkini di Gaza terkait pelanggaran syarat gencatan senjata yang sengaja dilakukan oleh rejim Zionis Israel untuk melengahkan proses perdamaian yang diusahakan pelbagai pihak termasuk Kerajaan Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS).
“Saya juga menyanjung usaha gigih yang dilakukan Sheikh Mohammed dalam mencari jalan untuk menghentikan segera kekejaman rejim Zionis ke atas penduduk Gaza dan mencapai perdamaian yang berkekalan.
“Saya turut menegaskan komitmen berterusan Malaysia untuk tetap teguh mendokong setiap inisiatif termasuk memberi bantuan kemanusiaan, selain menamatkan penjajahan dan pendudukan Israel di bumi Gaza,” katanya menerusi kenyataan.
Perdana Menteri sebelum ini menegaskan gencatan senjata di Gaza harus dijadikan batu loncatan ke arah matlamat menubuhkan negara Palestin yang berdaulat, sah dan bebas.
Beliau berkata, komuniti antarabangsa mesti memastikan gencatan senjata itu dipatuhi bagi membuka jalan perbincangan fasa seterusnya yang akan membawa kepada ketenangan berkekalan dan pembinaan semula Gaza.