
KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan memberi pelepasan pembayaran rawatan di klinik panel kepada pencarum Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso) memperlihatkan keprihatinan kerajaan kepada golongan sasar.
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ketetapan inisiatif itu memperlihatkan kerajaan mengambil berat nasib pekerja dan menawarkan perlindungan keselamatan buat mereka.
“Lebih banyak faedah keselamatan membabitkan pekerjaan dapat dinikmati oleh mereka yang mencarum di Perkeso,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Lam Thye, rawatan percuma itu menunjukkan Perkeso progresif dalam memanfaatkan pencarumnya selain bagi meningkatkan tahap budaya keselamatan yang dapat menjimatkan perbelanjaan rakyat.
“Kemalangan ialah sesuatu yang harus diambil langkah berjaga-jaga dan perlu dielak.
“Walaupun malang tidak berbau, tetapi jika berlaku kemalangan, Perkeso sedia mengurangkan kos dengan inisiatif yang diperkenalkan.
“Langkah ini wajar dipuji dalam usaha kita mewujudkan budaya keselamatan dalam kehidupan pekerja di Malaysia,” katanya.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim sebelum ini mengatakan pencarum Perkeso tidak perlu membayar rawatan perubatan di 1,400 klinik panel seluruh negara, membabitkan kes kemalangan bencana pekerjaan serta penyakit khidmat.