
PUTRAJAYA: Perdana Menteri menyifatkan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan sebagai seorang pemimpin yang berani dan tegas dalam menuntut keadilan buat Palestin, sekali gus membawa keamanan di rantau Asia Barat.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika banyak negara teragak-agak untuk mengambil tindakan, berbeza pula dengan Erdogan apabila beliau lantang mempamerkan kejelasan moral dan keberaniannya terhadap isu penindasan Palestin.
“Dia (Erdogan) bersuara tanpa gentar menentang perampasan, pendudukan dan pembunuhan beramai-ramai (oleh tentera Israel di Semenanjung Gaza).
“Sokongan Turkiye melebihi kata-kata, ia jelas, nyata, diplomatic dan teguh.
“Walaupun banyak negara lain teragak-agak untuk bantu atau ambil Tindakan, Erdogan tetap bertegas. Apabila perhatian global semakin meningkat, beliau sudah memastikan sokongan untuk Palestin diterjemah ke dalam tindakan yang bermakna,” katanya Ketika berucap dalam Majlis Syarahan Umum Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, di sini.
Susulan keberanian dan kelantangan itu, Anwar berkata, Turkiye kini menjadi satu daripada kuasa dunia dan memperoleh reputasi sebagai pengantara yang dipercayai untuk keamanan di Asia Barat dan hal ehwal Eropah.
Beliau berkata, hasilnya boleh dilihat hari ini dengan pembangunan prestasi ekonominya, peremajaan infrastruktur dan diplomasi yang berani, semuanya berpaksi kepada kewibawaan kepemimpinan.
“Kejayaan dron Bayraktar adalah kejayaan industry. Projek kenderaan elektrik TOGG, kemajuan dalam teknologi angkasa lepas dan evolusi pesat keupayaan kecerdasan buatan (AI), semuanya menunjukkan Türkiye sebuah negara yang tidak mahu terhalang oleh kekangan masa lepas dan menerima pembebasan bermakna untuk bergerak ke depan.
“Hari ini, Turkiye bukan sahaja bertindak balas terhadap masa lalu, ia membentuknya. Ini kerana Erdogan memahami sejarah tidak memandang baik kepada orang yang lemah lembut dan ia memihak kepada yang berani dan tegas,” kata Anwar.
Dalam pada itu, Erdogan menerusi ucapannya menghargai okongan Malaysia terhadap Gaza dan perjuangan Palestin serta mengalu-alukan pendirian teguh negara ini dalam memerangi Islamofobia.
Beliau berkata, Turkiye juga berazam meneruskan hubungan dengan Malaysia dalam D8 dan memperkukuhkan kerjasama dalam pembangunan ekonomi.
“Kami juga berbangga dengan pencapaian Malaysia dalam diplomasi, pembuatan, kewangan dan perdagangan. Saya mendoakan kejayaan Malaysia dalam jawatan Pengerusi ASEAN tahun ini.
“Saya amat berharap penggal baharu di Bawah kepempimpinan Malaysia ini dapat membantu dalam mengukuhkan kerjasama antara negara kita dan ASEAN,” katanya.
Erdogan menjelaskan, Turkiye dan Malaysia turut menyasarkan meningkatkan perdagangan sehingga AS$10 billion 9RM44.7 billion), melibatkan bidang teknologi semikonduktor kepada automatif serta daripada teknologi pesawat kepada simulator awam.
“Kami ingin meningkatkan usaha bersama kami dalam setiap sektor dan maju bersama dalam pelbagai bidang dengan Malaysia,” ujarnya.