
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin bersetuju membayar ganti rugi sebanyak RM50,000 kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi menyelesaikan kes saman fitnah.
Pengerusi Mara, Asyraf Wajdi Dusuki berkata Mahkamah Tinggi Melaka hari ini merekodkan penghakiman persetujuan tersebut di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Isa Aziz Ibrahim.
Menurut Asyraf, Mas Ermieyati mengakui mengeluarkan kenyataan tidak benar dan berunsur fitnah terhadap beliau serta Mara, serta bersetuju memohon maaf secara bertulis.
Defendan juga akan menarik balik dan memadam semua hantaran video yang disiarkan di platform media sosial miliknya.
“Semoga ini menjadi pengajaran berguna kepada semua supaya lebih bertanggungjawab dan tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan fitnah yang boleh menghancurkan reputasi individu serta institusi,” katanya dalam catatan di Facebook.
Kes ini berpunca daripada dakwaan yang dibuat oleh Mas Ermieyati pada Mei tahun lalu, mendakwa Asyraf membazirkan dana Mara melalui lawatan tidak rasmi ke institusi di bawah agensi itu, serta menimbulkan isu pemotongan program hafazan dan pembiayaan pelajar pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET).
Asyraf menegaskan tuduhan tersebut tidak berasas dan memfailkan saman terhadap Mas Ermieyati atas dakwaan memfitnah Mara.





