
KOTA KINABALU : Polis menahan dua lagi anak suspek utama kes pembunuhan kejam wanita yang mayatnya dikerat sebelum di buang di beberapa lokasi di Indah Permai, Menggatal semalam.
Memetik laporan Kosmo Online!, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, dua wanita berusia 21 dan 29 tahun ditahan di sekitar Sepanggar dan Inanam.
“Mereka ditahan untuk siasatan dari segi peranan dan pengetahuan mereka dalam kejadian tersebut,” katanya.
Penahanan terbaharu itu menjadikan jumlah individu yang ditangkap berhubung kes tersebut adalah seramai empat orang.
Sebelum ini polis memberkas seorang lelaki tempatan berusia 71 tahun yang juga suspek utama pada 12 Februari lalu di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth II (HQE II).
Selepas itu, polis memberkas pula seorang remaja lelaki berusia 19 tahun di kawasan Sepanggar bagi membantu siasatan.
Polis merampas barangan seperti telefon bimbit, pakaian, sarung tangan, sebilah parang dan sebuah kenderaan jenis Nissan X-Trail. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Berdasarkan maklumat diperoleh sebelum ini, motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu yang membawa kepada pergaduhan antara suspek dan mangsa sebelum insiden kejam itu berlaku.
Mayat wanita itu ditemui dalam keadaan terpisah apabila beberapa bahagian anggota badannya dijumpai di tempat pembuangan sampah di Taman Indah Permai.
Penemuan awal membabitkan kaki dan tangan manusia berhampiran tempat letak kereta bersebelahan pasar raya berkenaan kira-kira jam 6.30 pagi, 12 Februari lalu
Susulan itu, polis menjalankan pencarian lanjut dengan bantuan pekerja lori sampah.






