BANGKOK: Seorang lelaki warga Malaysia ditahan polis Thailand selepas disyaki menyamar sebagai pegawai kerajaan bagi menipu seorang warga tempatan dan memperoleh wang tunai melebihi 3.3 juta baht (RM426,000).
Ketua Bahagian Polis Metropolitan 2, Kiattikul Sonthanan, berkata suspek berusia 26 tahun itu ditahan di daerah Don Mueang, Bangkok, pada Jumaat, berdasarkan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Thonburi pada 7 November lalu bagi kesalahan menipu dengan menyamar sebagai individu lain.
Beliau berkata, suspek yang dikenali sebagai Tan, berasal dari Sabah, ditahan di sebuah hotel di Soi Saranakhom 3, Don Mueang.
“Polis turut merampas pakaian yang dipakai suspek semasa kejadian, sebuah beg galas hitam, dua telefon bimbit, satu sampul kad SIM AIS kosong, empat kad SIM Singapura yang belum digunakan, satu kad SIM kosong serta tiga kad debit milik bank asing,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut Kiattikul, penahanan itu susulan laporan dibuat oleh seorang mangsa wanita berusia 70 tahun yang mendakwa menerima panggilan daripada individu menyamar sebagai pegawai polis Balai Polis Mueang Khon Kaen.
Individu terbabit mendakwa akaun bank mangsa digunakan untuk aktiviti keldai akaun dan pengubahan wang haram, sebelum menghantar mesej serta dokumen palsu bagi meyakinkan mangsa.
“Suspek turut mengadakan panggilan video dengan mangsa bagi membincangkan ‘siasatan aset’ dan mengarahkan mangsa menyediakan wang tunai serta barangan berharga kononnya untuk pemeriksaan polis,” katanya.
Mangsa yang terpedaya kemudian mengeluarkan wang simpanan, menjual barangan peribadi dan menyerahkan sejumlah 3.3 juta baht kepada suspek.
“Selepas menyedari wang itu tidak dipulangkan seperti dijanjikan, mangsa membuat laporan polis,” katanya lagi.
Kiattikul berkata, penyiasat dari Balai Polis Don Mueang kini bekerjasama dengan Polis Thung Khru bagi memperluaskan siasatan serta menjejaki anggota lain sindiket penipuan berkenaan.
