KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi menyatakan beliau terbuka menerima apa juga keputusan MIC sama ada kekal bersama gabungan itu atau memilih untuk keluar.
Beliau juga menyatakan tidak berhasrat mencampuri urusan dalaman parti tersebut.
Zahid berkata, beliau tetap mengikuti rapat perkembangan MIC, khususnya apa yang dibahaskan pada Perhimpunan Agung Tahunan parti berkenaan.
“Saya mengikuti dengan dekat perbahasan dalam perhimpunan agung mereka. Saya menghormati apa juga keputusan yang dibuat para perwakilan dan kepimpinan MIC, dan saya tidak berhajat mencampuri hal ehwal dalaman mereka.
“Apa juga keputusan yang akan mereka buat, kita menerimanya dengan hati yang terbuka. Terserah kepada parti berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sidang Kemuncak Ekonomi & Teknologi China Global 2025 bertemakan “Kepimpinan & Perkongsian Global dalam Era Transformasi Digital dan Hijau” di Dewan San Choon, Wisma MCA.
Mengulas saranan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, agar BN mengadakan perbincangan dengan kepimpinan tertinggi MIC selepas PRN Sabah, Zahid bersetuju dan menyatakan beliau sentiasa terbuka kepada sebarang rundingan.
“Perbincangan itu adalah pendekatan terbaik,” katanya.
Pada Ahad lalu, para perwakilan MIC meluluskan beberapa usul berkaitan hala tuju parti, termasuk cadangan keluar daripada BN.
Susulan itu, Presiden MIC SA Vigneswaran memaklumkan perwakilan bersetuju menangguhkan keputusan muktamad berhubung perkara tersebut dan menyerahkan sepenuhnya kepada Jawatankuasa Kerja Pusat serta presiden.
Vigneswaran turut menolak kemungkinan MIC bergerak secara solo, dan menjelaskan parti itu hanya akan menentukan gabungan baharu sekiranya benar-benar keluar BN.
Beliau turut mendedahkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatinya supaya mempertimbangkan semula cadangan tersebut memandangkan MIC sudah sekian lama menjadi sebahagian daripada BN.
