KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan modul baharu yang memfokuskan kesihatan dalam Kursus Asas Haji (KAH) musim 1447H/2026M 3 Oktober lalu, selaras dengan syarat kesihatan yang diperketatkan oleh Kerajaan Arab Saudi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, modul berkenaan bertujuan memastikan jemaah memenuhi keperluan fizikal sebelum menunaikan haji, termasuk rutin senaman harian yang disarankan seperti berjalan 10,000 langkah dan latihan mendaki bukit.
Katanya, TH akan memberikan anugerah bulanan kepada jemaah yang menunjukkan komitmen terhadap rutin kesihatan masing-masing, sekali gus menggalakkan mereka menjaga kecergasan sebagai persediaan ibadat haji.
Mohd Na’im berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen ke-18 Kolej Profesional MAIWP (KPMAIWP) di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE (MECC), yang turut dihadiri Pengerusi MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan kepimpinan tertinggi agensi berkenaan.
Pada 19 Oktober lalu, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menetapkan syarat kesihatan lebih ketat untuk musim haji 1447H/2026M, termasuk keperluan bebas daripada penyakit berjangkit, penyakit serius atau penyakit kronik tidak terkawal serta berupaya melaksanakan ibadat haji tanpa bantuan.
Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad, memaklumkan syarat kesihatan itu perlu dipenuhi bagi melayakkan jemaah memperoleh visa haji daripada kerajaan Arab Saudi.
Mengulas perkembangan tawaran haji yang dikeluarkan secara berperingkat sejak 24 Oktober lalu, Mohd Na’im berkata jemaah terpilih kini sedang menjalani pemeriksaan kesihatan, sambil mengingatkan bahawa Arab Saudi amat menekankan tahap kesihatan jemaah dan berharap semua bakal haji mengekalkan kecergasan masing-masing pada tahap terbaik.
