KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) meneliti cadangan mewajibkan syarikat penerbangan memaparkan jumlah subsidi kerajaan bagi tiket penerbangan ke laluan antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan sempena musim perayaan.
Menterinya, Anthony Loke berkata, perbincangan dengan syarikat penerbangan akan diadakan bagi mencari mekanisme terbaik supaya penumpang mendapat maklumat jelas mengenai subsidi yang diterima.
“Sesetengah penumpang mungkin tidak sedar jumlah subsidi besar yang telah diperuntukkan kerajaan apabila mereka membeli tiket penerbangan pada musim perayaan,” katanya.
Beliau menjawab soalan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat mewajibkan pemakluman sedemikian pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
Loke berkata, kementerian membelanjakan RM19.5 juta untuk mensubsidikan 39,744 tiket penerbangan, bersamaan RM491 bagi setiap tiket yang layak untuk tahun ini.
Melalui subsidi itu katanya, harga maksimum yang perlu dibayar oleh penumpang ialah RM499 walaupun purata harga sebenar tiket adalah RM990.
“Subsidi untuk tahun ini telah dilaksanakan bagi Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Hari Gawai, Pesta Kaamatan dan akan diteruskan untuk Krismas pada bulan depan,” katanya.
