KUALA LUMPUR: Muzik bukan sekadar hiburan, bahkan menjadi medium ampuh menyemai perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Datuk Kamarul Baharin A. Kasim berkata, muzik berupaya merentasi perbezaan bahasa, budaya dan etnik selain menyatukan rakyat melalui irama yang difahami.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program ART SHOW: Muzik, Seni, Pendidikan dan Uniti 2025 anjuran Muzium Muzik, JMM yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Mohamad Azhan Md. Amir di Dataran Pentas Terbuka dan Galeri Muzik, Muzium Muzik, di sini hari ini.
Menurut Kamarul Baharin, ART SHOW 2025 yang memasuki edisi ketiga merupakan usaha berterusan JMM memperkukuh semangat Uniti Malaysia Madani melalui kolaborasi antara institusi pendidikan, agensi kerajaan dan penggiat seni.
“Program ini menggabungkan elemen muzik, seni dan pendidikan untuk menzahirkan mesej perpaduan.
“Ia menjadi bukti seni dan budaya adalah jambatan yang mampu menghubungkan masyarakat pelbagai latar belakang,” katanya.
Kamarul Baharin menjelaskan, penglibatan hampir 200 peserta termasuk pelajar dan pensyarah daripada UiTM, ASWARA, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Perbadanan Muzium Negeri Pahang, PUZIDA, Sekolah Kebangsaan Seberang Perak, Astraloka, serta syarikat industri kreatif seperti Againstar, Aiszzy Electronics dan 3Particle Solution, menyerlahkan nilai perpaduan melalui kerjasama rentas sektor.
“Kerjasama strategik ini bukan sahaja memupuk semangat bersama, tetapi membuka ruang kepada generasi muda untuk memahami kepelbagaian budaya muzik Malaysia,” katanya.

Program yang berlangsung dari 15 Oktober hingga 31 Disember 2025 itu menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk persembahan gamelan, bengkel seni, pameran alat muzik etnik, Pocket Talk, Pocket Show dan aktiviti pendidikan interaktif.
Kamarul Baharin berkata, JMM sentiasa berusaha menjadikan muzium bukan hanya tempat menyimpan sejarah, tetapi juga pusat penyebaran ilmu dan perpaduan.
“Kita mahu pengunjung datang bukan sekadar melihat artifak, tetapi merasai pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan menerusi elemen muzik, seni dan pendidikan,” katanya.
Kolaborasi JMM dengan UiTM di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada 2023 turut memberi ruang kepada penyelidikan bersama dalam bidang akademik dan kebudayaan hingga 2026.
Beliau turut menyifatkan penglibatan pelajar universiti sebagai manifestasi kepada konsep “mendapat ilmu dan berkongsi ilmu” yang menjadi tunjang program ini.
“Pelajar-pelajar ini bukan sahaja menonjolkan bakat, tetapi juga menjadi duta kecil perpaduan melalui seni dan muzik. Mereka membuktikan generasi muda mampu menjadi pemacu keharmonian nasional,” katanya.
Kamarul Baharin juga menyeru semua pihak terus menjadikan muzik dan seni sebagai bahasa perpaduan sejagat.
