
KUALA LUMPUR: Pelakon Nadiah Kasumawati yang meninggal dunia pada 15 Januari lepas, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Dhahban di Jeddah, Arab Saudi pada 7.35 pagi waktu tempatan, diiringi suami dan anaknya.
Kementerian Luar memaklumkan, Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah telah bekerjasama rapat dengan waris terdekat serta pihak berkuasa tempatan bagi memudahkan serta menyelaras semua urusan berkaitan pengebumian.
Kementerian itu turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat, khususnya kerajaan Arab Saudi, Hospital King Fahd dan agensi berkaitan lain atas bantuan yang diberikan.
Nadiah, yang lebih dikenali sebagai Nadia Kesuma, menyertai pakej lawatan Umrah-London-Paris dan dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung di Jeddah pada Khamis lalu.
Terdahulu, suaminya, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, 57, yang merupakan pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) memaklumkan isterinya meninggal dunia pada 8.07 pagi Khamis lepas, selepas pelakon itu dilaporkan gagal dikesan.
Muhammad Kamarul bersama anak perempuannya mengambil penerbangan ke Jeddah 5.35 petang semalam, bagi menyelesaikan segala urusan jenazah di King Fahad Hospital termasuk dokumentasi serta pengambilan barang-barang peribadi Allahyarham Nadia Kesuma.







