PUTRAJAYA: Dokumen lengkap Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) kini boleh diakses oleh orang awam menerusi laman web rasmi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Perkara itu disahkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Katanya, maklumat yang diterima memaklumkan dokumen berkenaan sudah dimuat naik awal minggu ini dan boleh diakses sepenuhnya bersama senarai soalan lazim (FAQ) di laman web MITI.
“Dokumen tersebut kini boleh diakses sepenuhnya oleh orang awam di laman web MITI bersama soalan lazim yang disediakan,” katanya.
Fahmi turut menjelaskan isu berkaitan perjanjian ART itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini melalui satu Memorandum Jemaah Menteri (MJM).
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perjanjian ART tidak mengandungi sebarang peruntukan yang bercanggah dengan semangat dan kandungan Perlembagaan Persekutuan.
Jabatan Peguam Negara (AGC) turut memainkan peranan penting dalam meneliti kandungan perjanjian antarabangsa, termasuk ART, bagi memastikan setiap komitmen yang dimeterai selaras dengan undang-undang Malaysia.
