
KUALA LUMPUR: Kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero yang dihanyutkan bersama seorang lelaki dalam insiden kepala air di Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma di sini, ditemukan pagi ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kenderaan itu ditemukan kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kejadian pada 8.30 pagi selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula memasuki hari ketiga.
“Kenderaan tersebut ditemui tanpa mangsa selepas paras air sungai turun hampir satu meter. Cuaca hari ini lebih baik dan operasi SAR diteruskan sehingga pukul 7 malam.
“Penemuan ini membantu kita memfokuskan semula laluan arus yang berkemungkinan membawa mangsa,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian.
Sazalee berkata, Mitsubishi Pajero itu sudah diserahkan semula kepada syarikat pemilik kenderaan berkenaan.
Menurutnya, operasi SAR digerakkan secara menyeluruh dengan penyertaan aset Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk 21 penyelam yang dibahagikan kepada empat zon pencarian.
“Dron, bot kecil dan kayak turut digunakan bagi menyusuri hampir 20 kilometer aliran Sungai Klang.
“Kita pecahkan kawasan kepada empat zon dan pencarian dijangka melepasi sempadan Selangor,” katanya.
Beliau turut mengesahkan telefon mangsa yang sebelum ini dilaporkan masih berdering, kini tidak lagi aktif, namun polis terus berusaha mendapatkan petunjuk baharu bagi mengecilkan skop pencarian.
“Semalam arus sangat deras, tetapi hari ini air lebih tenang dan jernih, sekali gus lebih selamat untuk penyelam.
“Empat sektor pencarian yang ditetapkan sejak semalam diteruskan, dengan laluan sepanjang 20 kilometer diteliti secara menyeluruh,” jelasnya.
Menurutnya, sebarang struktur sungai atau halangan yang mencurigakan akan dikenal pasti sebagai ‘hot spot’ untuk pemeriksaan penyelam.
Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu menerusi talian Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa, kelmarin.
Susulan laporan itu, anggota dari BBP Titiwangsa bersama pasukan BBP Jalan Hang Tuah digerakkan ke lokasi dan mendapati 12 pekerja terperangkap di bawah jambatan.
Operasi menggunakan tali berjaya menyelamatkan seorang warga tempatan serta 11 warga asing terdiri daripada tujuh warga Indonesia dan empat warga Bangladesh.
Bagaimanapun, seorang lelaki dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika cuba mengalihkan kenderaan yang diletakkan di bawah jambatan sejurus menyedari kehadiran kepala air.
Mangsa merupakan lelaki tempatan berusia 34 tahun yang bekerja sebagai penyelia tapak projek penambahbaikan Sungai Klang di lokasi kejadian.





