
KUALA LUMPUR: Polis masih menjalankan siasatan terhadap anak kepada seorang bekas Perdana Menteri yang ditahan selepas penemuan sejumlah dadah dalam kenderaannya di Lebuhraya Sprint pada 23 Ogos lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, memaklumkan siasatan kes berkenaan diteruskan di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB).
“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(A) ADB,” katanya.
Seksyen 39A(1) memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun bagi kesalahan berkaitan pemilikan dadah, manakala Seksyen 15(1)(A) memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.
Media sebelum ini melaporkan suspek ditahan dalam satu operasi pencegahan jenayah bersepadu yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sekitar Damansara.
Dalam operasi berkenaan, kereta suspek diperiksa dan polis menemui sejumlah kecil dadah jenis heroin serta beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penyalahgunaan dadah.
Suspek turut mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.