
KUALA LUMPUR: Seorang wanita berusia 41 tahun ditahan polis selepas cuba menghampiri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, ketika sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Perak yang berlangsung pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Noor Hisam Nordin, insiden berlaku sekitar pukul 8.20 pagi semasa lagu kebesaran negeri dimainkan.
“Suspek dipercayai menaiki pentas utama dari arah tepi dengan niat mendekati Sultan Perak.
“Bagaimanapun, tindakan pantas anggota keselamatan dapat menghalang wanita tersebut daripada mendekati baginda.
“Suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan.
Hasil semakan polis mendapati wanita terbabit mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah dan pernah menerima rawatan psikiatri.
Dia juga dilaporkan masih berada di bawah pemantauan pakar.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek didapati negatif,” kata Noor Hisam.
Beliau turut mengingatkan orang ramai sentiasa menghormati majlis rasmi kenegaraan dan tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta aspek keselamatan.





