KUALA LUMPUR: Semangat perpaduan yang terbina hasil pengorbanan semua kaum sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan merupakan tunjang utama kekuatan Malaysia, tegas Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.
Dalam perutusannya sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, beliau menekankan bahawa kemerdekaan bukan hanya bermakna kebebasan daripada penjajahan, tetapi juga tanggungjawab bersama untuk memelihara keharmonian, mengisi kemerdekaan dengan pembangunan dan mempertahankan kedaulatan negara.
“Malaysia berdiri teguh hari ini kerana pengorbanan generasi terdahulu daripada pelbagai kaum – petani, pekerja ladang, buruh lombong, penjawat awam, ahli perniagaan serta para pejuang tanah air yang berganding bahu membina asas negara,” katanya.
Beliau yang juga Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Sungai Buloh menambah, kekuatan Malaysia selama lebih enam dekad terbina atas semangat kebersamaan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang. Semangat itu harus terus dipupuk agar negara mampu mendepani cabaran global dengan lebih yakin.
“Perpaduan adalah benteng utama negara. Jika kita terus bersatu hati, tiada cabaran yang tidak mampu kita hadapi. Merdeka bukan sekadar mengenang sejarah 31 Ogos 1957, tetapi tentang usaha kita hari ini untuk memastikan masa depan Malaysia lebih makmur dan gemilang,” ujar beliau.
Ramanan turut mengajak rakyat memperkukuh semangat patriotisme dengan mengutamakan perpaduan, kemajuan ekonomi dan keharmonian sosial agar Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang dihormati di persada dunia.
“Inilah wajah sebenar Malaysia MADANI, sebuah negara berbilang bangsa yang hidup rukun, berjiwa merdeka, dan terus teguh melangkah ke hadapan,” katanya lagi.
Ramanan yang juga yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga hal ehwal komuniti India berkata pengorbanan dan penglibatan masayarakat India dalam proses pembangunan negara sebelum dan selepas Merdeka memang tidak dinafikan sama sekali.
“Kita sebagai bergerak sebagai satu pasukan dibawah payung Malaysia bersama kaum-kaum lain membina Malaysia. Perjalanan 68 tahun cukup unik sekali. Marilah kita merayakanya dengan semagat jiwa Merdeka”, ujarnya.
