
KUALA LANGAT: Usaha melestarikan sungai sebagai sumber air utama negara diperkukuh menerusi Program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) dengan lokasi terbaharu melibatkan Denai Sungai Langat di Batu 8, Sijangkang, Mukim Telok Panglima Garang.
Program itu dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Mad Zaidi Mohd Karli, di sini baru-baru ini.

“Lokasi terbaharu ini menyaksikan komitmen PETRA mendidik masyarakat mengenai pentingnya memelihara kebersihan dan keindahan sungai.
“Program ini bukan sahaja menekankan aspek pemuliharaan, malah turut bertujuan mewujudkan “sense of belonging” dalam kalangan komuniti agar bertanggungjawab menjaga sungai di kawasan masing-masing.
“Program ini juga bukan sekadar membina denai, tetapi membina kesedaran, membina tanggungjawab, dan membina masa depan yang lestari untuk generasi akan datang,” katanya.
Denai Sungai Langat yang mula dinaik taraf pada 7 April 2025 dan siap sepenuhnya pada 2 Jun 2025 kini menjadi tarikan baharu di Kuala Langat.

Denai sepanjang 1.3 kilometer ini membolehkan pengunjung menikmati laluan sejauh 2.6 kilometer bagi satu pusingan penuh.
Menariknya, lokasi ini dahulunya merupakan tapak pembuangan sampah haram, namun hasil usaha bersepadu PETRA bersama komuniti setempat, kawasan tersebut kini berubah menjadi pusat rekreasi berkonsepkan pendidikan dan pelancongan mampan selain terletak bersebelahan Taman Rekreasi Paya Bakau Kampung Sijangkang.
Projek ini turut membuka peluang kepada aktiviti eko-pelancongan, riadah dan ekonomi setempat.
Sepanjang tahun 2025, sebanyak 35 program DSK dilaksanakan di seluruh negara, termasuk enam program di Negeri Selangor.
Inisiatif ini menjadi bukti komitmen PETRA dan kerajaan negeri dalam menyokong agenda pemeliharaan sumber air negara selari dengan prinsip kemampanan dan kesejahteraan di bawah kerangka Malaysia MADANI.
PETRA turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Selangor berhubung kerjasama padu dalam merealisasikan matlamat Program DSK.







