
KUALA LUMPUR: Seorang pelajar tingkatan empat berusia 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban bagi pertuduhan memperkosa rakan perempuan berumur 14 tahun dalam sebuah bilik darjah, pada Mei lalu.
Tertuduh mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti dalam prosiding tertutup, memandangkan dia masih di bawah umur.
Kejadian dipercayai berlaku pada pukul 7.20 pagi, 2 Mei lalu, di sebuah sekolah menengah di Ampangan, Seremban.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan rogol.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara antara lima hingga 20 tahun serta sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, P. Rubini mencadangkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan agar tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, memohon jumlah jaminan direndahkan kerana ia akan dijamin oleh bapanya, seorang pesara tentera.
Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM4,000 dengan syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 5 November ini.







