
BATU PAHAT: Seorang wanita warga emas didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memukul jirannya dengan penyapu, kerana menuduh mangsa memancitkan tayar keretanya.
Majistret Arun Noval Dass menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Tee Guat Poh, 60, selepas mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan.
Sekiranya gagal membayar denda, tertuduh akan dipenjara selama sebulan. Bagaimanapun, tertuduh membayar denda itu.
Guat Poh didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, wanita yang juga ibu kepada dua anak itu didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap jirannya, seorang wanita yang turut berusia 60 tahun, dalam kejadian di Taman Puteri Indah, Tongkang Pechah, pada pukul 7.35 pagi, 26 Ogos lalu.
Berdasarkan fakta kes, pertengkaran tercetus apabila tertuduh menuduh mangsa memancitkan tayar keretanya.
Ketegangan itu berlarutan sehingga tertuduh bertindak mengambil penyapu dan memukul mangsa.
Kejadian tersebut dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman mangsa.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).






