
KAJANG : Jabatan Peguam Negara diminta agar segera mengadakan inkues berhubung kes kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, bagi memastikan punca sebenar kematiannya dapat dikenal pasti secara telus.
Peguam mewakili keluarga Allahyarham, Datuk Naran Singh Ara Singh, berkata permintaan itu diharap dapat dilaksanakan segera selepas proses bedah siasat kedua disempurnakan.
“Walaupun pada awalnya pihak Peguam Negara membantah pelaksanaan bedah siasat tersebut, akhirnya ia berjaya dijalankan selepas mendapat arahan daripada mahkamah,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya mengharapkan agar inkues diwajibkan dalam kes ini, sebagaimana yang pernah dilakukan dalam kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir, bagi mendapatkan kebenaran melalui proses siasatan forensik yang adil dan telus.
Menurut Naran, beliau pernah menghantar surat rasmi kepada Peguam Negara berkaitan permohonan inkues sebelum ini, namun tidak menerima sebarang maklum balas.
“Perkembangan terbaru ini seharusnya membuka ruang kepada inkues supaya punca sebenar kematian Allahyarham dapat didedahkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Naran turut memaklumkan satu rakaman audio bersama transkrip telah diserahkan kepada pihak berkuasa. Bukti tersebut dipercayai boleh membantu siasatan dengan mendedahkan pihak-pihak yang terlibat secara langsung.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan ibu Syamsul Haris sangat terkesan dengan laporan bercanggah berkaitan punca kematian anaknya sehingga ada yang menyatakan akibat sawan, manakala ada juga dakwaan berlaku pergaduhan.
“Sudah tentu mana-mana ibu akan gelisah dan mahukan jawapan sebenar. Mengikut arahan mahkamah, proses bedah siasat kedua akan turut disaksikan oleh ibu allahyarham serta pakar forensik keluarga yang dibenarkan berada sepanjang prosedur dijalankan,” katanya.
Beliau turut memetik pepatah Melayu, ‘genggam bara api biar sampai jadi abu,’ menggambarkan semangat dan keteguhan perjuangan keluarga Syamsul Haris dalam menuntut keadilan.
Naran turut merakamkan penghargaan kepada pihak media yang terus membuat liputan kes ini.
“Tanpa laporan media, masyarakat tidak akan mengetahui perkembangan sebenar,” katanya.
Syamsul Haris meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram. Jenazahnya telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu pada 29 Julai.






