
KUALA LUMPUR : Kerajaan komited memastikan komuniti India tidak terpinggir dalam arus pembangunan negara apabila peruntukan khas berjumlah RM30 juta disalurkan bagi projek penambahbaikan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) terpilih di seluruh negara.
Dalam hantaran di Facebook, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Seri R. Ramanan memberitahu beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Pelaksanaan Projek Pembinaan Blok Tambahan, Blok Gantian dan Penyelenggaraan menggunakan peruntukan kewangan khas berjumlah RM30 juta.
“Saya telah memaklumkan jawatankuasa bahawa Perdana Menteri ingin memastikan pelaksanaan projek dengan kadar segera. Saya juga telah mengadakan perjumpaan bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek minggu lepas berhubung isu ini,” katanya.
Tambah Ramanan, kerajaan sentiasa mengambil serius untuk memastikan masalah ini ditangani dengan baik, tersusun dan dapat dimanfaatkan rakyat.
Beliau turut menyatakan enam buah sekolah yang terlibat ialah SJKT Klebang, Perak; SJKT Ladang North Hummock, Selangor; SJKT Ladang Kulai Besar, Johor; SJKT Ladang Rini, Johor; SJKT YMHA, Perak dan SJKT Sungai Bakap, Pulau Pinang.
“Arahan Perdana Menteri jelas, semua projek ini harus secara tender terbuka dan dilaksanakan segera. Inilah komitmen kerajaan untuk memastikan anak-anak kita belajar dalam suasana yang lebih selesa, selamat dan kondusif.
Bagi menjamin ketelusan, mesyuarat ini turut menegaskan bahawa setiap proses daripada tawaran tender sehinggalah ke peringkat pembinaan akan dipantau rapi. Dalam mesyuarat akan datang, kita juga akan mengadakan sesi libat urus bersama Guru Besar dan Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) bagi semua sekolah-sekolah yang terlibat.
“Langkah ini penting agar tiada ruang salah guna kuasa dan setiap sen peruntukan sampai kepada tujuan sebenar. Bagi komuniti India, usaha ini membawa makna besar dan ia bukan sekadar pembinaan bangunan baharu, tetapi lambang kesungguhan Kerajaan MADANI pada hari ini untuk memastikan tiada mana-mana golongan masyarakat yang terpinggir dalam arus pembangunan negara,” katanya.






