KUALA LUMPUR: Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Semantan Estate Sdn Bhd untuk menangguhkan pelaksanaan perintah Mahkamah Rayuan yang mengarahkan penilaian pampasan dibuat berhubung pengambilan jangka panjang tanah seluas 106 hektar di Duta Enclave, Kuala Lumpur oleh kerajaan.
Penangguhan ini berkuat kuasa sehingga permohonan kebenaran syarikat itu untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan didengar.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Malaya, Datuk Hasnah Hashim, membenarkan permohonan itu selepas Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, yang mewakili kerajaan, tidak membantah.
Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan menetapkan 13 November sebagai tarikh pendengaran permohonan kebenaran rayuan, namun Hasnah mencadangkan tarikh lebih awal memandangkan kes ini telah berlarutan hampir 50 tahun.
Peguam utama Semantan Estate, Datuk Cyrus Das, bersetuju agar pendengaran disegerakan tetapi memohon ia diadakan pada 6 November, kerana pihaknya memerlukan masa mencukupi untuk menyediakan hujahan. Permintaan itu diterima oleh panel yang turut dianggotai Hakim Zabariah Yusof dan Hakim Vazeer Alam Mydin Meera.
Pada 24 Jun lalu, Mahkamah Rayuan memerintahkan kerajaan supaya membayar pampasan kepada Semantan Estate atas pendudukan tanah tersebut sejak 1956, tanpa sebarang bayaran pampasan.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Lee Swee Seng memutuskan bahawa pampasan kewangan merupakan remedi yang lebih sesuai berbanding memindahkan hak milik tanah kepada syarikat terbabit. Dua lagi hakim yang terlibat ialah Hakim Azimah Omar dan Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Kerajaan sebelum ini menyatakan kesediaan untuk membayar pampasan yang sewajarnya.
Mahkamah Rayuan kemudian mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi bagi tujuan taksiran pampasan dalam tempoh 90 hari, dengan bantuan pakar. Pengurusan kes bagi taksiran itu dijadualkan pada 30 Jun di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Dalam prosiding yang sama, Mahkamah Rayuan menolak rayuan balas Semantan Estate untuk mendapatkan perintah mandamus yang akan memaksa kerajaan memindahkan hak milik tanah kepada syarikat itu.
Namun, mahkamah memutuskan bahawa kerajaan perlu membayar ganti rugi dalam bentuk keuntungan mesne, sebagai pampasan terhadap pendudukan tanah yang berlaku tanpa kebenaran sah.
Ganti rugi itu dikira bermula dari 3 Disember 1956 hingga tarikh pampasan dibayar sepenuhnya.
Mahkamah dimaklumkan nilai semasa tanah berkenaan dianggarkan mencecah RM12 bilion.
