
KUALA LUMPUR: Tiada pelajar Malaysia terlibat dalam demonstrasi atau insiden rusuhan yang berlaku di beberapa wilayah di Indonesia ketika ini, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Katanya, Education Malaysia (EM) di Indonesia menjalankan pemantauan berterusan secara dekat dengan kerjasama Wisma Putra bagi memastikan keselamatan lebih 1,200 pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di negara jiran itu.
“Alhamdulillah, setakat ini tiada laporan yang menunjukkan pelajar kita terlibat dalam kejadian tersebut.
“Namun, kita tidak mengambil mudah. Pemantauan tetap diteruskan dari semasa ke semasa kerana situasi ini tidak hanya berlaku di Jakarta, tetapi turut melibatkan beberapa kawasan lain di seluruh Indonesia,” katanya kepada media, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pelancaran Institut Pengajian Antarabangsa dan ASEAN (IINTAS) di bawah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang berlangsung di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC).
Zambry turut memaklumkan EM sentiasa berhubung rapat dengan pelajar-pelajar di sana bagi menyalurkan maklumat terkini serta menasihati mereka supaya menjauhi kawasan yang berisiko atau terlibat dengan rusuhan.
“Pelajar kita tidak hanya berada di Jakarta, tetapi juga di Sumatera, Pulau Jawa dan beberapa wilayah lain.
“Oleh itu, kerjasama dan komunikasi yang proaktif amat penting bagi memastikan mereka sentiasa berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Zambry berkata, pihak berkuasa Indonesia akan mengambil langkah sewajarnya bagi mengawal keadaan dan memastikan situasi tidak berlarutan.
“Kita mendoakan agar Indonesia kembali aman dan tenteram. Kestabilan di sana bukan sahaja penting untuk rakyat Indonesia, tetapi turut memberi impak langsung kepada negara-negara jiran termasuk Malaysia,” katanya.