
PUTRAJAYA: Usaha Malaysia memperkukuh kesedaran awam terhadap kepentingan tenaga dan kelestarian alam sekitar melakar sejarah baharu hari ini dengan pelancaran laman web rasmi Malaysia Energy Literacy Program (MELP).
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, sempena Sesi Perjumpaan Bersama Warga PETRA bagi bulan September yang berlangsung di Menara PETRA, di sini hari ini.
Dalam ucapannya, Fadillah berkata, kewujudan laman web MELP merupakan satu langkah signifikan dalam memperkasa rakyat dengan maklumat dan pemahaman yang tepat berkaitan tenaga iaitu satu komponen asas dalam pembangunan negara yang mampan.
Beliau menyifatkan MELP bukan sekadar laman web, tetapi sebuah pusat rujukan literasi tenaga yang inklusif, interaktif dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.
Laman web ini dibangunkan oleh Suruhanjaya Tenaga dengan sokongan dan penglibatan aktif pelbagai rakan strategik termasuk PETRA, Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), MyPOWER Malaysia, Yayasan Hijau Malaysia, Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Malakoff, NUR Power dan Edra Energy.
Kolaborasi erat ini mencerminkan kesungguhan pelbagai agensi dalam memastikan ilmu berkaitan tenaga disampaikan secara berkesan kepada rakyat.
Antara kandungan yang ditawarkan menerusi laman web MELP termasuk artikel ilmiah, video interaktif, panduan penggunaan tenaga secara cekap, infografik pendidikan dan pelbagai bahan digital lain yang disusun secara mesra pengguna.
Ini bertujuan meningkatkan kefahaman orang ramai terhadap isu-isu tenaga seperti keselamatan elektrik, penggunaan tenaga yang berhemah serta peranan individu dalam menyokong agenda sifar karbon negara menjelang tahun 2050.
MELP juga menjadi platform penting dalam menyokong aspirasi Malaysia MADANI, khususnya dalam membentuk masyarakat yang lebih peka dan bertanggungjawab terhadap kelestarian sumber negara.
Ia menawarkan pendekatan yang lebih moden dan praktikal dalam menyampaikan mesej kesedaran kepada masyarakat melalui penggunaan teknologi dan media digital.
PETRA komited memperkukuh usaha literasi tenaga melalui MELP sebagai wadah perkongsian ilmu dan kesedaran yang inklusif.
Orang ramai digalakkan untuk melayari www.melp.my bagi mendapatkan maklumat yang sahih dan terkini berkaitan tenaga serta memainkan peranan aktif dalam menjayakan agenda kelestarian negara.





