
PUTRAJAYA: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memberi tumpuan usaha mempertingkatkan prasarana pendidikan awal kanak-kanak serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi Belanjawan 2026.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penambahbaikan ini akan melibatkan kemudahan di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), termasuk Tabika Pra-Tahfiz serta pusat pendidikan untuk kanak-kanak autisme.
“Apa yang kita tumpukan pada tahun lepas (meliputi pembangunan desa) akan diteruskan namun ada beberapa kawasan fokus yang harus kita lihat, satunya ialah menyebarluaskan Tabika Kemas Pra-Tahfiz.
“Kini terdapat 10,883 Tabika Kemas Pra-Tahfiz yang kita telah mulakan juzuk 30 untuk anak-anak kita yang berumur tiga hingga enam tahun. Sebanyak 125,000 murid telah menyertainya, insya-Allah kita akan menyasarkan penambahan menjadikan 140,000 murid pada tahun hadapan,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan KKDW di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, tenaga pengajar Kemas juga akan dihantar menjalani latihan bagi memperkasa pedagogi atau pengajaran mereka.
“Kita akan melakukan beberapa transformasi. Kita telah mulakan tahun ini dengan tiga tabika autisme di Melaka dan tahun hadapan kita akan wujudkan satu negeri satu tabika austime manakala pada 2027, kita akan wujudkan satu tabika autism bagi satu daerah.
“TVET akan kita lebih perkukuhkan terutama TVET di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan agensi di bawah KKDW,”
Tambah beliau, sesi dialog dengan pihak berkepentingan diadakan bagi memantapkan input Belajawan 2026.
Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata, Transformasi Desa melalui 42 inisiatif ‘Game Changer’ yang digerakkan KKDW mencatatkan pencapaian mencecah 64 peratus setakat ini.
“Dari Desa Kirana yang membuka desa kepada dunia pelancongan ke Tabika Tunas Istimewa yang memberi peluang kepada anak-anak autisme, hingga ke ‘Smart Classroom’ yang membuktikan anak desa juga mampu menjejak arus digital.
“Semuanya adalah titik penting dalam peta jalan perubahan yang lebih luas,” katanya.






