
KUALA LUMPUR: Tanda tanya mengenai kehilangan pelakon, Nadia Kesuma sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah akhirnya terjawab apabila wanita itu disahkan meninggal dunia akibat sakit jantung pada Khamis lalu.
Perkara tersebut disahkan oleh anak perempuannya menerusi satu hantaran di aplikasi Threads, malam tadi.
Dalam hantaran berkenaan, anak Allahyarham memaklumkan ibunya, Nadiah Kasumawati Abdul Karim, menghembuskan nafas terakhir pada 15 Januari lalu pukul 8.05 pagi waktu tempatan.
“Assalamualaikum semua, saya ingin memaklumkan bahawa mama saya, Nadiah Kasumawati Abdul Karim telah pun kembali ke Rahmatullah pada 15 Januari lalu (Khamis) pukul 8.05 pagi.
“Terima kasih kepada semua yang tidak henti-henti menitipkan doa buat mama. Mohon doakan agar arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman, diampunkan segala dosanya dan dirahmati Allah,” tulisnya.
Menurut kenyataan tersebut, Allahyarham meninggal dunia akibat sakit jantung dan dibawa ke hospital pada hari yang sama sejurus tiba di Lapangan Terbang Jeddah.
Namun, keluarga dimaklumkan mengenai pemergian arwah lewat malam, kira-kira pukul 11.10 malam, oleh pihak agensi pelancongan yang menguruskan perjalanan umrah tersebut.
“Tiada pihak memaklumkan kepada kami sekeluarga tentang keadaan mama sehinggalah malam ini. Berita tersebut disampaikan oleh pihak agensi pelancongan itu sendiri,” katanya.
Pemergian Nadia turut disahkan oleh suami arwah, Prof. Dr. Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah serta sahabat baiknya, pelakon Anne Abdullah menerusi media sosial masing-masing.
Terdahulu, Nadia Kesuma yang pernah membintangi filem Syaitan Munafik dan Kudeta, dilaporkan hilang selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada Rabu lalu.
Allahyarham merupakan antara 21 jemaah yang menyertai kumpulan umrah dan ziarah anjuran sebuah agensi pelancongan dari 14 hingga 28 Januari ini.
Kes kehilangan Nadia sebelum ini mencetuskan kebimbangan ramai dan mendapat perhatian pihak berkuasa serta Konsulat Malaysia di Arab Saudi sebelum berita pemergiannya disahkan







