
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor telah memberi tempoh sehingga 31 Mac ini supaya Tanah Warta Perkuburan Islam di PJS 4, Petaling Jaya dikosongkan.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, kegagalan mengosongkan tanah perkuburan itu dalam tempoh ditetapkan akan disusuli dengan tindakan penguatkuasaan pengosongan tapak oleh pihak Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling bersama JAIS dan agensi penguat kuasa lain.
Beliau menegaskan, JAIS, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kerajaan Negeri akan terus menjalankan apa juga langkah yang perlu bagi memastikan pencerobohan ke atas tanah warta JAIS mahupun tanah wakaf MAIS diputihkan dengan segera.
“Usaha-usaha menghalang sebarang pencerobohan akan ditingkatkan dari semasa ke semasa.
“Orang awam yang mengesan sebarang pencerobohan tanah warta JAIS atau tanah wakaf MAIS bolehlah menghubungi JAIS, MAIS, PDT atau pun PBT untuk tindakan sewajarnya oleh Pengarah JAIS selaku Pegawai Pengawal terhadap tanah warta dan MAIS selaku pemilik tunggal tanah wakaf di Negeri Selangor,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Mohd Shahzihan merujuk kepada hantaran di media sosial yang tular yang mendakwa tanah wakaf orang Islam di bawah pengurusan MAIS telah diceroboh oleh rumah ibadat haram.





