
SEPANG: Seorang pengerusi sebuah kuil didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi pertuduhan menceroboh tanah milik individu lain di Jalan Selangor, Dredging, Dengkil, pada Jun tahun lalu.
Tertuduh, M. Paramaguru, 49, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan tanah milik Suhaili Ahmad tanpa kebenaran pada pukul 4.45 petang, 19 Jun tahun lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Iznina Hanim Hashim memohon mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin tempatan.
Namun, peguam tertuduh, Darshela Hari Raja memohon jumlah jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan memperoleh pendapatan sekitar RM1,800 sebulan.
Menurutnya, tertuduh sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak berusia enam dan 11 tahun manakala isterinya merupakan suri rumah sepenuh masa.
Beliau turut memaklumkan tertuduh memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis sepanjang siasatan dijalankan dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh serahan dokumen.





