KUALA LUMPUR: Penjara di seluruh negara kini sesak dengan 84,143 banduan, melebihi kapasiti maksimum 76,000, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
Katanya, sebanyak 6,640 lagi sedang menjalani program pemulihan komuniti di luar penjara.
“Kapasiti sebenar penjara adalah 76,311 orang. Ini menunjukkan berlaku kesesakan dan lebihan sebanyak 7,872 orang daripada keseluruhan kapasiti,” katanya ketika Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) berhubung langkah Kementerian Dalam Negeri untuk mengurangkan kesesakan penjara akibat kesalahan dadah dan sejauh mana kementerian berkenaan bersedia menilai semula dasar sedia ada termasuk cadangan dekriminalisasi penggunaan dadah secara terkawal serta pengalihan pesalah kecil ke program pemulihan komuniti agar kitaran penjara tidak berulang.
Shamsul berkata kerajaan sedang melaksanakan pendekatan menyeluruh untuk menangani kesesakan penjara akibat kesalahan dadah, termasuk penguatkuasaan dan pemulihan.
Jelasnya, Penubuhan Pusat Koreksional Chenderiang, Tapah, adalah langkah signifikan untuk mengasingkan pesalah jenayah dadah yang disabitkan di bawah Seksyen 15(1) dan Seksysn 39C Akta Dadah Berbahaya (1952).
“Pengasingan ini membolehkan pelaksanaan rawatan dan program pemulihan yang lebih fokus dan berpusat. Seterusnya, kita persiapkan banduan untuk menyertai program pemulihan dalam komuniti,” katanya.
Malah katanya, usaha itu berpotensi mengurangkan kadar pesalah berulang selain membantu mengurangkan kesesakan di penjara utama.
Katanya, inisiatif pemulihan turut dipeluaskan menerusi pelaksanaan program dalam komuniti seperti sistem parol dan pembebasan banduan secara berlesen.
“Ini adalah program yang memberi peluang kepada banduan yang layak untuk menjalani proses pemulihan di luar tembok penjara dalam persekitaraan yang terkawal dan dipantau.
“Ini selaras dengan hala tuju penjara supaya dua pertiga banduan yang layak dapat mengikuti program pemulihan komuniti dan secara langsung mengurangkan tekanan kapasiti penjara serta menyokong proses integrasi semula ke dalam masyarakat,” katanya.
