PUTRAJAYA: Mesyuarat Kabinet tidak pernah membincangkan urusan penyusunan semula barisan Jemaah Menteri berikutan ia merupakan hak mutlak Perdana Menteri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, hanya Perdana Menteri mempunyai kuasa merombak Kabinet atau melantik anggotanya.
“Tidak pernah ada perbincangan dalam Kabinet untuk menyusun semula Kabinet.
“Itu hak mutlak Perdana Menteri yang mempunyai kuasa sepenuhnya untuk merombak Kabinet dan melantik sesiapa yang sepatutnya berada sebagai ahli Jemaah Menteri atau timbalan menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah hari ini bagi mengulas sama ada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri akan membincangkan soal rombakan Kabinet atau hal berkaitan.
Ahmad Zahid berkata, mesyuarat khas yang akan dipengerusikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dijadualkan hanya memfokus kepada isu tuntutan pemulangan hak 40 peratus hasil Sabah.
“Ia khusus kepada soal tuntutan 40 peratus yang dipinta oleh sahabat sebagaimana yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri memaklumkan keputusan mengenai tuntutan pemulangan hak 40 peratus hasil Sabah akan dimuktamad dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri hari ini.
