KUALA LUMPUR : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pemeteraian sebarang perjanjian dengan negara lain tidak akan menjejaskan hubungan Malaysia-China yang kekal kukuh.
Beliau berkata, Malaysia komited untuk terus mempererat kerjasama dengan China, ASEAN dan komuniti global bagi memacu inovasi, menarik pelaburan serta membuka lebih banyak peluang kepada rakyat.
Ahmad Zahid turut menekankan kerjasama antarabangsa tetap menjadi aset terpenting Malaysia dalam menyesuaikan diri dengan dinamika perubahan dunia semasa.
“Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing…usah bimbang mengenai sebarang perjanjian yang dimeterai dengan mana-mana negara.
“Hubungan Malaysia dengan China kekal utuh. Ini kerana apabila ASEAN dan China berkembang secara bersama, manfaatnya akan dinikmati oleh semua pihak, kalangan belia, perniagaan serta komuniti kita.
“Secara bersama juga, kita dapat membentuk masa depan yang lebih sejahtera, stabil serta lebih terangkum untuk semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Sidang Kemuncak Global Ekonomi dan Teknologi China (GCET 2025), hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menegaskan hubungan Malaysia-China kekal ‘praktikal, strategik dan berorientasikan masa depan’, diperkukuh oleh momentum ekonomi yang semakin kukuh susulan peningkatan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) kepada ACFTA 3.0, satu pencapaian utama tahun ini.
Beliau memaklumkan bahawa perdagangan ASEAN-China melonjak kepada AS$982 bilion pada 2024 berbanding AS$192.5 bilion pada 2008, sekali gus meletakkannya sebagai salah satu koridor ekonomi paling pesat berkembang di dunia.
Katanya, hubungan perdagangan dua hala Malaysia-China pula terus menunjukkan pertumbuhan stabil antara lima hingga tujuh peratus pada awal 2025, dengan nilai dagangan melepasi RM200 bilion menjelang Mei.
