
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Datuk Karam Singh Walia yang meninggal dunia hari ini.
Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau menyifatkan mendiang sebagai wartawan penyiaran yang amat dihormati serta banyak menyumbang kepada dunia kewartawanan tanah air.
“Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Karam Singh Walia, wartawan penyiaran yang amat dihormati atas pemergian beliau hari ini,” katanya.
Anwar berkata, sumbangan dan dedikasi mendiang dalam bidang kewartawanan khususnya berkaitan isu alam sekitar akan terus dikenang serta menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.
“Semoga mendiang disemadikan dengan aman dan keluarga diberi ketabahan serta kekuatan dalam menghadapi saat yang sukar ini,” katanya.







