KUALA LUMPUR: Projek Sambungan Lebuhraya Baru Pantai (NPE 2) bernilai RM1.7 bilion melibatkan laluan utama sepanjang 6.4 kilometer (km) atau 15 km keseluruhan dari Plaza Tol Pantai Dalam ke Jalan Istana, dijangka mula beroperasi pada 2029.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek yang merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Trafik Kuala Lumpur 2040 itu direka bentuk bagi menyuraikan kesesakan di koridor Pantai Dalam-Bangsar-Mahameru.
“Apabila siap kelak iaitu dijangka dalam tempoh 48 bulan, pengguna berupaya menjimatkan hingga 25 minit masa perjalanan dari Bangsar/Mid Valley ke Subang Jaya dengan peningkatan tahap perkhidmatan jalan.
“Selain itu, projek ini dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat di kawasan Pantai Dalam, Bangsar dan Lembah Pantai, serta membuka peluang baharu dalam sektor perumahan, komersial dan perkhidmatan,” katanya.
Nanta berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek NPE 2 di Plaza Tol Pantai Dalam di sini hari ini.
Nanta berkata, kos pembangunan projek NPE 2 dibiayai sepenuhnya New Pantai Expressway Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh IJM Corporation Berhad (IJM), tanpa beban kewangan kepada kerajaan.
