KUALA LUMPUR: PROTON hari ini mengumumkan pembukaan tempahan bagi Saga Serba Baharu, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam sejarah evolusi model sedan ikonik negara yang telah menjadi simbol kebanggaan rakyat Malaysia sejak diperkenalkan hampir empat dekad lalu.
Sebagai kereta nasional pertama yang sinonim dengan kehidupan rakyat, Saga Serba Baharu direka dengan gabungan teknologi pintar, kejuruteraan halus serta nilai mampu milik bagi memperkukuh komitmen PROTON untuk menjadikan mobiliti moden dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
Model baharu itu ditawarkan dalam tiga varian iaitu Standard, Executive dan Premium serta hadir dengan lima warna menarik iaitu Marine Blue, Space Grey, Ruby Red, Armour Silver dan Snow White, dengan harga anggaran antara RM40,000 hingga RM50,000.
Dibangunkan menggunakan Platform Advanced Modular Architecture (AMA), Saga Serba Baharu merupakan model pertama yang direka bentuk, dibangunkan dan disahkan sepenuhnya di Malaysia dengan kerjasama teknikal daripada Geely, selaras dengan kerjasama strategik yang dimeterai sejak tahun 2018.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Abdul Rashid Musa, berkata dengan slogan baharu “Intelligence That Thrills”, Saga Serba Baharu mencerminkan kematangan kejuruteraan Malaysia yang kini mampu bersaing di peringkat antarabangsa melalui gabungan gaya, keselamatan dan inovasi pintar.
Model baharu ini dikuasakan oleh enjin i-GT 1.5L dengan Transmisi Variabel Berterusan (CVT) yang menawarkan pemanduan lancar dan kecekapan bahan api serendah 4.9L/100 km (MDC). Sistem Stereng Berkuasa Elektrik (EPS) baharu meningkatkan kawalan, manakala talaan pengendalian PROTON memastikan keselesaan dan kestabilan optimum.
Aspek keselamatan dipertingkat dengan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) yang dilengkapi sembilan fungsi keselamatan pintar, enam beg udara serta struktur badan PROTON Reinforced Safety Structure (RESS) dengan komponen Hot Press Forming (HPF) untuk perlindungan maksimum ketika pemanduan.
Menyerlah dengan rekaan moden dan ciri digital canggih, Saga Serba Baharu turut dilengkapi dwi-skrin bersepadu 16 inci, menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, lampu utama automatik, serta reka bentuk luaran beridentiti tempatan menerusi Gril bermotif Sulaman Songket dan rim aloi dua tona 15 inci, menggabungkan unsur tradisi dan kemodenan sebagai lambang kemajuan industri automotif Malaysia.
