KUALA LUMPUR: PROTON memperkenalkan Proton e.MAS 7 varian 100 kilowatt (kW) di Singapore Motorshow, Singapura dalam memperkukuh strategi eksport di negara terbabit.
Pengenalan varian baharu tersebut memperluas barisan kenderaan elektrik (EV) jenama PROTON selepas kurang enam bulan memasuki semula pasaran negara jiran itu.
e.MAS 7 merupakan tunjang kepada strategi pengembangan EV PROTON berasaskan eksport setelah muncul EV terlaris di Malaysia pada tahun lalu.
Menurut kenyataan PROTON, sambutan kukuh terhadap e.MAS 7 varian 160kW telah membuka laluan kepada pengenalan varian baharu yang disesuaikan dengan keperluan peraturan tempatan.
“Ia menandakan fasa seterusnya dalam strategi pengembangan pasaran serta peluasan EV berasaskan eksport PROTON.
“Varian Proton e.MAS 7 100kW membolehkan model ini mematuhi peraturan COE Kategori A di Singapura dan ditawarkan pada harga yang lebih berpatutan tanpa menjejaskan kelebihan utama dari segi prestasi, keselamatan serta kebolehgunaan,” kata kenyataan itu.
Katanya lagi, langkah tersebut juga dapat memanfaatkan peningkatan penggunaan EV di negara berkenaan.
Jelas kenyataan itu, inisiatif berkenaan selari sasaran PROTON untuk mencapai jualan sebanyak 330,000 unit menjelang 2030 dengan 30 peratus daripada jumlah tersebut disumbangkan pasaran eksport.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton International Corporation, Edmund Lim Meng Thong berkata, pengenalan varian 100kW untuk pasaran eksport membuktikan kesediaan serta keupayaan PROTON menyesuaikan diri dengan keperluan peraturan tempatan dan permintaan pasaran.
“Pada masa hadapan, varian ini akan diperluaskan ke pasaran lain sekiranya terdapat keperluan.
“Bagi tahun 2026, kami merancang untuk meningkatkan jualan eksport dengan mengukuhkan kehadiran di pasaran sedia ada, meneroka negara baharu serta memperkenalkan barisan model enjin pembakaran dalaman (ICE) dan EV PROTON terkini.” katanya.
