
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menafikan dakwaan terbabit dalam kes rasuah berjumlah RM2.5 bilion yang dikaitkan dengan penganugerahan kontrak kepada sebuah syarikat yang mempunyai hubungan dengannya.
Ahli Parlimen Pandan itu menegaskan tuduhan berkenaan adalah fitnah yang disebarkan oleh pempengaruh media sosial, Ariz Ramli atau lebih dikenali sebagai Caprice.
Beliau dipercayai merujuk kepada projek Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang melibatkan pelaburan RM2.5 bilion oleh UEM Lestra.
“Saya dituduh menganugerahkan kontrak kepada sebuah syarikat yang kononnya berkait dengan saya…ini jadi satu lagi bahan fitnah dijaja oleh Caprice dan diulang oleh ceplos-ceplos kononnya Rafizi terbabit kes rasuah RM2.5 bilion,” katanya dalam sebuah klip video yang dimuatnaik semula oleh Caprice di laman sosialnya, hari ini.
Terdahulu, Rafizi menjelaskan, pelaburan RM2.5 bilion oleh UEM Lestra dalam projek NETR merupakan inisiatif sektor swasta sepenuhnya dan tidak melibatkan dana awam atau sebarang perolehan kerajaan.
Beliau turut menafikan dakwaan wujud kepentingan peribadi dalam projek berkenaan, selain menyifatkan serangan yang dibuat oleh pempengaruh media sosial sebagai satu fitnah terancang.
Beliau juga menuduh pempengaruh Caprice, menghasilkan kandungan yang mendakwa kononnya beliau menganugerahkan projek UEM Lestra kepada sebuah syarikat mempunyai kaitan dengannya.
Dalam perkembangan sama, Rafizi dijadual menjawab secara terperinci dua tuduhan salah laku yang dikaitkan dengannya menerusi program audio siar Yang Berhenti Menteri (YBM) pada jam 10 malam ini.






