
KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi menolak rayuan yang difailkan oleh pereka fesyen, Datuk Jovian Mandagie bagi membatalkan perintah kebankrapan terhadapnya susulan kegagalan melangsaikan pinjaman persahabatan berjumlah RM5.28 juta termasuk faedah kepada syarikat pembinaan kejuruteraan, Cekap Air Sdn. Bhd.
Peguam Siti Nur Athirazatti Rohizad yang mewakili Cekap Air berkata, mahkamah turut menolak permohonan Jovian untuk menangguhkan pelaksanaan perintah kebankrapan tersebut.
“Mahkamah menolak rayuan bagi mengetepikan petisyen pemiutang dan untuk menggantung perintah kebankrapan dengan kos berjumlah RM10,000,” katanya kepada pemberita selepas prosiding di dalam kamar Hakim Jamhirah Ali.
Pada 3 Julai tahun lepas, Penolong Kanan Pendaftar, Muhammad Faisal Zulkifli mengeluarkan perintah kebankrapan selepas membenarkan petisyen pemiutang yang difailkan syarikat berkenaan pada 20 November 2024.
Sebelum itu, pada 21 Mei 2024, Cekap Air memfailkan notis kebankrapan selepas Jovian gagal mematuhi penghakiman terus yang diberikan mahkamah pada 2 April tahun sama.
Berdasarkan petisyen kebankrapan pemiutang, syarikat berkenaan memohon satu perintah kebankrapan terhadap Jovian selaku penghutang kerana gagal membayar RM5,284,340.66 juta termasuk faedah seperti yang diperintahkan Mahkamah Tinggi.
Pada 2 April 2024, Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin memerintahkan Jovian melunaskan pinjaman persahabatan berkenaan selepas membenarkan permohonan Cekap Air selaku plaintif untuk mendapatkan penghakiman terus terhadap pereka fesyen itu.
Penghakiman terus tersebut diberikan apabila mahkamah memutuskan kes berdasarkan hujahan bertulis tanpa melalui perbicaraan penuh atau pemanggilan saksi.
Cekap Air memfailkan saman terhadap Jovian pada 16 Mei 2023 selepas beliau didakwa gagal membayar semula pinjaman RM5 juta yang diberikan atas dasar persahabatan, dengan pengarah syarikat itu, Yong Zhen Wei, merupakan kenalan beliau.






