PUTRAJAYA: Pemandu kenderaan diingatkan supaya menyelesaikan saman tertunggak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum 1 Januari ini bagi mengelak tindakan lebih tegas, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Beliau berkata, setakat ini terdapat lebih 5.5 juta saman JPJ yang masih belum dibayar di seluruh negara dan tindakan tegas akan diambil selepas 1 Januari terhadap mereka yang gagal melunaskan saman berkenaan.
“Selepas tarikh itu, semua saman tertunggak akan dirujuk ke mahkamah atau disenaraihitamkan, sekali gus menghalang pemilik kenderaan daripada memperbaharui lesen kenderaan motor (cukai jalan),” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Deepavali di kementeriannya hari ini.
Katanya, jenis senarai hitam bergantung kepada bentuk kesalahan yang dilakukan.
“Jika kesalahan melibatkan pemanduan laju, lesen kenderaan motor akan disenaraihitamkan dan pemilik tidak dapat memperbaharui cukai jalan.
“Bagi kesalahan yang berkaitan dengan pemandu pula, lesen memandu akan disenaraihitamkan,” jelasnya.
Anthony turut mengumumkan bermula 1 November hingga 30 Disember ini, semua saman JPJ yang boleh dikompaun akan dikenakan diskaun 50 peratus, bagi menggalakkan orang ramai menjelaskan saman sebelum tahun baharu.
Beliau berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan tahap pematuhan undang-undang jalan raya dan mengurangkan bilangan kesalahan tertunggak.
Katanya, antara saman tertunggak tertinggi ialah Notis JPJ P (22) yang berjumlah 3.68 juta saman, melibatkan pelbagai kesalahan jalan raya am di bawah Seksyen 22 Akta Pengangkutan Jalan 1987 seperti memandu tanpa lesen, cukai jalan tamat tempoh, dan pengubahsuaian kenderaan secara haram.
Sebanyak 1.38 juta saman lagi dikeluarkan melalui Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS), yang melibatkan kesalahan memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat merah.
